Berita

Polis tumpas Geng Acoi, selesai kes samun bersenjata di Ampang

KETUA Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar Selayang dan Gombak antara 3 dan 6 Ogos lepas.
- Diterbit 12 Ogos 2021 7:53 AM MYT

POLIS berjaya menumpaskan geng samun bersenjata dikenali ‘Geng Acoi’ yang dipercayai bergiat aktif di sekitar Ampang Jaya dan Gombak berikutan penahanan lapan individu termasuk seorang wanita sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar Selayang dan Gombak antara 3 dan 6 Ogos lepas.

Beliau berkata pihaknya menerima enam aduan berhubung kes samun menggunakan senjata seperti parang di sekitar Ampang Jaya sejak Julai hingga awal Ogos lepas.

“Peningkatan kes ini secara mendadak dan berlaku hampir setiap hari, ia amat membimbangkan. Sehubungan itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan dan menahan kumpulan penjenayah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dalam serbuan itu polis merampas 74 telefon bimbit,  tiga unit komputer riba yang dipercayai hasil kejadian samun selain tiga parang, empat pedang, lima pisau, sebilah kapak dan enam motosikal yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Menurutnya kumpulan berkenaan menyasarkan mangsa yang berjalan kaki berseorangan dan bagi mengaburi polis, suspek menggunakan dua motosikal secara bergilir dalam setiap kes samun yang dilakukan.

“Hasil semakan mendapati seorang sahaja suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala salah seorang daripada mereka adalah orang dikehendaki bagi kes narkotik dan komersial,” katanya yang turut memaklumkan enam lagi suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan, Seksyen 397 kanun yang sama kerana melakukan kegiatan itu menggunakan senjata serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas