Berita

Polis siasat dua individu masuk campur hal ehwal Islam

- Diterbit 4 Januari 2024 6:37 PM MYT

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan berhubung dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Shuhaily berkata kes tersebut disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaubagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti dua individu yang disiasat ketika ini.

30 Disember lalu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menerusi kenyataan menyatakan permohonan maaf selepas mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Koo Ham menjelaskan bahawa beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.

Beliau mendakwa tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas itu sebenarnya dibentuk oleh MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas