Berita

Polis buru lelaki larikan diri dengan tangan bergari

SUSPEK dipercayai menjual barangan curi termasuk tong gas di sebuah kedai runcit dan barangan terbabit dipercayai dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 17 Jun 2021 8:05 AM MYT

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri dengan tangannya bergari selepas ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi dan pecah masuk rumah di Kampung Jias C, Kuala Betis, dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata suspek berusia 24 tahun tersebut ditahan dan digari pada 12.30 tengah malam di sebuah kedai runcit kerana dipercayai menjual barang curi, namun dia berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Betis di kampung itu sebelum masuk ke hutan.

“Suspek dipercayai menjual barangan curi termasuk tong gas di sebuah kedai runcit dan barangan terbabit dipercayai dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi,” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata anggota polis cuba mengejar lelaki yang berasal dari Pos Tohoi itu sejurus kejadian dan kemudian menggerakkan operasi mengesannya selama tiga jam.

“Keesokan harinya (Selasa), kita (polis) dimaklumkan penduduk kampung ada terserempak dengan suspek dan suspek meminta tolong (orang awam) supaya memotong gari di kedua-dua tangannya tetapi mereka takut berbuat demikian.

“Suspek kembali lari ke hutan selepas itu dan ada orang awam turut memaklumkan suspek sempat balik ke rumahnya (di Pos Tohoi) untuk mengambil makanan serta pakaian sebelum lari semula ke hutan,” katanya.

Sik berkata pihaknya juga sedang mengesan rakan suspek yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 223 serta Seksyen 224 kanun sama kerana melarikan diri daripada tahanan dan kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri, katanya. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas