Berita

PM, Jemaah Menteri kekal jalan kuasa eksekutif Persekutuan – Peguam Negara

PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun menjelaskan buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 8 Julai 2021 9:41 AM MYT

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan, kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau menjelaskan buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi.

Menurut Peguam Negara, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam malam tadi  memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dicapai susulan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tujuh prasyarat yang ditetapkan UMNO sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas