Berita

PM beri penghormatan terakhir kepada pengasas Public Bank

- Diterbit 15 Disember 2022 11:25 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan penghormatan terakhir kepada pengasas Public Bank Bhd mendiang Tan Sri Teh Hong Piow di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini.

Perdana Menteri tiba di pusat peringatan itu pada 4.50 petang dan menandatangani buku takziah sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga mendiang.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya sebelum ini menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat sektor perbankan dan negara.

Teh meninggal dunia pada 10.20 pagi Isnin pada usia 92 tahun.

Mendiang mengasaskan Public Bank pada 1965 ketika berusia 35 tahun.

Beliau dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan bank itu sejak memulakan operasi perniagaan pada 6 Ogos 1966.

Teh melepaskan jawatan CEO dan dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif pada 1 Julai 2002 sebelum bersara pada 31 Dis 2018. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas