Berita

PM arah misi mencari, menyelamat tanah runtuh dijalankan secara rapi

ANGGOTA bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) menjalankan operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. Kredit foto: Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.
- Diterbit 16 Disember 2022 3:19 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan terlibat.

“Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di antara jalan yang menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland adalah satu perkhabaran yang amat mengejutkan.

“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor tentang misi mencari dan menyelamat berkenaan.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua jabatan kerajaan yang terlibat agar menjalankan misi mencari dan menyelamat secara rapi serta sistematik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana menteri yang melawat kawasan tersebut agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.

“Saya dimaklumkan menteri terlibat akan turun ke lokasi kejadian pada pagi ini. Justeru itu, saya turut menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat tersebut.

“Saya juga mohon kepada seluruh rakyat Malaysia  mendoakan agar misi ini dipermudahkan,” ujarnya.

Sehingga kini, lapan mangsa termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia, tujuh cedera dan 53 lagi selamat dalam kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas