PKS di Labuan dakwa tidak dapat pengecualian sewa premis kerajaan
PENIAGA di UTC Labuan mendapat kemudahan pengecualian sewa premis.

PKS di Labuan dakwa tidak dapat pengecualian sewa premis kerajaan

LABUAN – Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman mendakwa pengecualian sewa ke atas hartanah milik kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak merangkumi Labuan, menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pulau ini menghadapi kesukaran.

Beliau berkata, para peniaga bimbang sama ada mereka dapat terus membayar sewa bulanan yang dikenakan Labuan Corporation.

“Kami dimaklumkan beberapa pengusaha mungkin perlu menutup kedai, terutamanya yang mempunyai aliran tunai yang menyusut, berikutan mencatatkan urus niaga sifar sejak PKP dilaksanakan.

“Syarikat kami tidak menjana apa-apa pendapatan berikutan kami masih mematuhi perintah itu,” katanya.

Dalam pada itu, PKS di wilayah ini mula merasai impak PKP susulan pandemik Covid-19 mengunjurkan hutang sewa yang tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Difahamkan, kebanyakan PKS di pulau ini masih menyewa premis dan tanah milik kerajaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 dan kemudiannya diberi status pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia pada 1996.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), yang diumumkan pada 27 Mac lepas, PKS yang menyewa premis milik kerajaan Persekutuan, yang termasuk semua premis yang dimiliki oleh agensi dan badan berkanun kerajaan di seluruh negara layak untuk mendapat pengecualian sewa selama enam bulan.

Pengecualian bayaran sewa selama enam bulan untuk kantin, kafeteria, kedai serbaneka dan kedai lain yang beroperasi di bangunan kerajaan Persekutuan itu akan melibatkan kos sebanyak RM20 juta.

Alias berkata, sebahagian PKS telah menghadapi masalah aliran tunai dan amat memerlukan bantuan untuk mengelak ditutup berikutan pengecualian itu belum dilanjutkan kepada Labuan walaupun perniagaan kami turut terjejas teruk oleh PKP.

“Kami berharap Labuan Corporation, yang di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan, akan melihat situasi kami,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii berkata, dewan itu menjangka beberapa isu kewangan meningkat, termasuk menutup perniagaan dan kadar pengangguran bakal meningkat.

“Apabila kerajaan mengumumkan penangguhan selama enam bulan ke atas pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula kad kredit tertunggak berikutan Covid-19 melibatkan sekurang-kurangnya RM100 bilion, ia juga penting untuk melihat kepada situasi majikan dan pemilik perniagaan di Labuan,” katanya.

Wong tidak menolak kemungkinan majikan di pulau ini mengenakan pembekuan pengambilan pekerja, mengurangkan jumlah pekerja dan memotong gaji bulanan jika pandemik itu berlarutan. – WILAYAHKU

CATEGORIES