Berita

1,128 pelajar universiti kumpulan pertama pulang ke kampung malam ini

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 27 April 2020 6:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 1,128 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi kumpulan pertama akan pulang ke kampung halaman bermula malam ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghantaran pelajar itu melibatkan sembilan universiti menggunakan 49 buah bas ke 17 destinasi.

Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan pelajar itu menyaksikan 863 individu dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara.

“Apabila bas tersebut sampai di zon utara, bas yang sama akan membawa pelajar daripada zon tersebut ke zon tengah semula.

“Setiap bas akan disanitasi sebelum bergerak dan berlepas daripada setiap zon selain bagasi pelajar turut akan disanitasi,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau memberitahu bas yang bertolak dari zon tengah dijangka tiba di zon utara kira-kira pukul 9 pagi esok.

Ismail Sabri menambah, hanya satu ahli keluarga sahaja dibenarkan mengambil anak mereka tersebut di kawasan drop point iaitu di balai polis berdekatan dan pejabat daerah.

“Bagi keluarga pelajar tersebut yang tidak mempunyai kenderaan akan dihantar oleh petugas hadapan di rumah mereka masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan penghantaran pulang pelajar ke Sabah dan Sawarak akan bermula 1 Mei depan.

“Mereka akan diterbangkan menerusi empat lapangan terbang mengikut zon masing-masing.

“Pelajar yang berada di Terengganu dan Kelantan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ; Zon Tengah termasuk Pahang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur; Zon Utara (Lapangan Terbang Pulau Pinang) dan Zon Selatan (Lapang Terbang Antarabangsa Senai) ke lapangan terbang berdekatan kampung halaman masing-masing, ” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas