Utama

PKPJ satukan ‘Waghih Jolobu’

JALALUDDIN (kiri) menyampaikan mock cheque kepada Pengerusi Penaja PKPJ, Mohammad Yahya Zakaria (kanan) pada Ahad lalu.
- Diterbit 12 November 2021 3:57 AM MYT

JALINAN persaudaraan dalam kalangan ‘Waghih Jolobu’ iaitu anak perantauan dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan, akan terus dimantapkan melalui penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Perantau Jelebu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor (PKPJ).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, NGO yang menaungi anakanak Jelebu di perantauan ditubuhkan bagi mengumpulkan waris yang berada di Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang.

“Ia ditubuhkan bagi mengumpulkan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan anak-anak Jelebu yang berhijrah dan bermastautin di luar daerah.

“Selain daripada itu, penubuhan ini merupakan titik permulaan kepada penyatuan dan kesatuan keluarga besar anak-anak Jelebu yang berada di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program pelancaran PKPJ yang disempurnakan Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memberitahu, PKPJ juga ditubuhkan sejajar pesanan Datuk Undang Luak yang mahukan anak perantauan tidak diketepikan.

“Persiapan dibuat lebih daripada sebulan dan akhirnya siaplah pelancaran Pertubuhan Kebajikan Perantau Jelebu khusus untuk ‘waghih-waghih’ yang tinggal di tiga Wilayah Persekutuan serta di Lembah Klang,” katanya.

Beliau turut optimis bahawa pertubuhan tersebut akan mendapat sambutan daripada semua pihak sekali gus dapat mengharumkan nama Jelebu.

Justeru, katanya, PKPJ akan menjelajah ke seluruh negara serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta supaya anak-anak Jelebu dapat dikenal pasti seterusnya dibantu jika menghadapi masalah.

“Saya yakin tokoh anak Jelebu di Kuala Lumpur dan seluruh negara yang menyumbangkan sesuatu demi pembangunan keluarga besar sehingga melakar kejayaan, akan menjadi tonggak untuk anak-anak Jelebu yang masih tinggal di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Maarof menzahirkan kesyukuran kerana hasrat yang dinyatakan kepada Jalaluddin sebelum ini disambut dengan bersungguh-sungguh sehingga sebuah NGO yang menaungi perantau Jelebu berjaya ditubuhkan.

Katanya, NGO tersebut boleh memberi manfaat kepada semua pihak terutama dalam kalangan waris yang merantau mahupun yang masih menetap di Jelebu. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas