Berita

PKPj beri kesedaran, tingkat pengetahuan penjagaan kesihatan kanak-kanak

SEBAHAGIAN peserta program menyaksikan demonstrasi bantuan pernafasan (CPR) bertempat di Dewan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.
- Diterbit 24 Mac 2023 2:30 AM MYT

PIHAK kerajaan akan terus memberi perhatian yang serius terhadap usaha-usaha bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan kanak-kanak terutamanya dari aspek penjagaan kesihatan.

Baru-baru ini, pihak Pejabat Kesihatan Putrajaya (PKPj) mengambil pendekatan dengan mengadakan Program Sesi Libat Urus Berkaitan Aspek Kesihatan Kanak-Kanak bersama institusi pendidikan Putrajaya bertempat di Dewan Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1, Putrajaya.

Menurut Pegawai Epidemiologi Pakar Perubatan Kesihatan Awam UD54, Dr Nur Sofiani Diana Mohammed Yusof, program tersebut dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman pihak institusi pendidikan berkaitan langkah-langkah pencegahan khususnya amalan kebersihan diri serta persekitaran selain menekankan fokus kepada aspek penjagaan kesihatan kanak-kanak.

“Selain itu, ia juga diadakan untuk memperkukuh jalinan mesra dan kerjasama strategik di antara Pejabat Kesihatan dan semua agensi kerajaan, swasta serta pihak berkepentingan di Putrajaya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berkongsi mengenai inti pati program, Nur Sofiani berkata ia memfokuskan sesi handson dalam pasukan di mana para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk penggiliran ke enam stesen yang disediakan iaitu Stesen First Aid, Stesen Penyediaan Makanan Sihat dan Seimbang serta Kepentingan Premis Makanan Bersih, Stesen Kepentingan Vaksinasi dan Mengenali Tanda Amaran, Stesen Demonstrasi Hand Hygiene, Stesen Tatacara Disinfeksi dan Stesen Kepentingan Premis Bebas Aedes.

“Selain itu, kuiz kesihatan berserta contoh-contoh senario berdasarkan situasi sebenar yang berlaku di institusi pendidikan Putrajaya juga telah dimasukkan bagi meningkatkan kesedaran dan tingkah laku positif berkenaan amalan kebersihan diri dan persekitaran yang perlu diamalkan.

Alhamdulillah, peserta sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan berharap program seperti ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun. Bukan itu sahaja, terdapat wakil institusi pendidikan yang meminta supaya ia dilaksanakan bersama ibu bapa dan tenaga pengajar di institusi mereka,” ujarnya keputusan pre/post-test juga menunjukkan pemahaman para peserta secara purata meningkat daripada 87.6 kepada 94.2 peratus.

Di samping itu, Nur Sofiani memaklumkan PKPj sentiasa menjalankan program seumpama ini secara berkala bagi memastikan pemahaman berkenaan penyakit berjangkit sentiasa dikemas kini dan dimalkan oleh masyarakat terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam penjagaan serta pengendalian kanak-kanak.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa berusaha untuk menjalankan program-program kesihatan yang terbaik menerusi kolaborasi bersama rakan strategik dalam kalangan semua agensi di sektor kerajaan mahupun swasta bagi memastikan impak maksima kepada komuniti di Putrajaya.

“Kami juga sentiasa terbuka dalam menerima sebarang cadangan penambahbaikan, inovasi kajian mahupun projek-projek menarik serta kreatif bagi program-program seterusnya supaya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan tahap kesihatan seluruh penduduk di wilayah ini.

“Saya berharap program dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ini dapat menurunkan kejadian kes serta wabak penyakit berjangkit di samping meningkatkan kesedaran serta komitmen setiap lapisan komuniti bagi menjalankan langkah pencegahan serta mengamalkan aspek kesihatan kendiri, keluarga, rumah dan persekitaran,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada semua urus setia, ahli jawatankuasa, fasilitator dan moderator program di atas komitmen terbaik sepanjang sesi berlangsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas