Berita

PICK Remaja bermula hari ini, libatkan 3.2 juta remaja

PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara. Gambar: Thesundaily
- Diterbit 20 September 2021 4:46 AM MYT

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi hari ini dengan menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pelaksanaan PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

“Remaja yang menerima suntikan vaksin COVID-19 perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga bagi menandatangani borang persetujuan terima vaksin,” katanya serta menambah remaja yang mempunyai masalah kesihatan akan diberi pengecualian daripada menerima suntikan vaksin.

Dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sempena Kick-Off PICK Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini, Khairy berkata senarai PPV khas untuk remaja mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus akan diumumkan esok.

Khairy berkata pelaksanaan PICK Remaja adalah penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada Oktober ini bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan serta mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

Pada 12 Sept lepas, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan dimulakan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Khairy berkata statistik menunjukkan trend peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga 18 tahun di Malaysia adalah membimbangkan.

Menurutnya, terdapat peningkatan daripada 12,620 kes pada 2020 kepada 400,668 kes pada tahun ini iaitu setakat 16 Sept lepas dengan 256,569 kes daripada jumlah tersebut melibatkan murid sekolah dan 42,381 kanak-kanak prasekolah.

Khairy berkata semua negeri yang mempunyai bekalan vaksin diberi kebenaran untuk memulakan PICK Remaja.

Beliau berkata PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 Sept dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 Sept selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah tersebut mencapai 80 peratus.

PICK Remaja di Sabah pula dimulakan pada 16 Sept kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar, katanya.

Sehingga 16 Sept, katanya seramai 86,076 remaja telah diberikan dos pertama vaksin COVID-19 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

PICK Remaja dikelolakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

CITF-A dalam kenyataan sebelum ini menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 pada November ini, dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Hari ini, seramai 323 pelajar SMK Putrajaya Presint 8(1) yang terdiri daripada 156 pelajar tingkatan empat dan 167 tingkatan lima menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Turut hadir Dr Noor Azmi dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas