Berita

PGA tahan empat lelaki rampas Daun, Air Ketum

- Diterbit 8 Mac 2021 9:06 AM MYT

CUBAAN menyeludup air dan daun ketum menggunakan sebuah van oleh empat lelaki berjaya dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan di sini, petang semalam.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata empat lelaki berusia 24 hingga 72 tahun itu ditahan ketika cuba menyeludup 20 bungkus air ketum dan 11 kilogram (kg) daun ketum pada 3.30 petang.

“Pemeriksaan di dalam van itu menemukan dua kotak berisi daun serta air ketum  yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk van sebanyak RM121,310 dan kesemua suspek termasuk pemandu van ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata  kejayaan berkenaan adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik penyeludupan dadah di daerah terbabit.

Katanya, dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketat kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh Esszone. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas