Berita

PFM rayu kerajaan benarkan aktiviti penggambaran

- Diterbit 5 Februari 2021 3:51 AM MYT

PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu kerajaan   membenarkan aktiviti penggambaran dilaksanakan segera dengan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian, terutama aktiviti penggambaran di luar studio dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Pansha berkata sehingga kini, kerajaan masih tidak membenarkan sebarang aktiviti penggambaran, sehingga menyebabkan semua syarikat penerbitan filem dan televisyen mengalami kerugian besar.

“Mereka terpaksa menanggung kos bulanan operasi atau penerbitan yang makin meningkat dan pembatalan aktiviti penggambaran. Malah, penggiat seni bebas seperti pengarah, pelakon, pekerja belakang tabir dan lain-lain juga perit untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Mereka tidak dapat bayaran kerana kerja tidak dapat dijalankan. Dana yang disediakan kerajaan untuk merancakkan industri seni ketika banyak syarikat tiada projek juga tidak dapat disempurnakan akibat aktiviti penggambaran tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pansha berkata keadaan itu turut menjejaskan kontrak dan pembayaran antara syarikat penerbitan dan stesen televisyen kerana banyak program tidak dapat disiapkan.

Beliau berkata penerbitan kandungan kreatif juga adalah antara perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, justeru keseimbangan dalam mengatasi pandemik COVID-19 dan menjana ekonomi perlu sewajarnya dipertimbangkan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas