Berita

Bekas Pengerusi Mara Inc didakwa 22 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram RM20.45 juta

- Diterbit 5 Februari 2021 4:09 AM MYT

BEKAS Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) Datuk Mohammad Lan Allani hari ini mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini, atas 22 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kesemuanya berjumlah RM20.45 juta membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Mohammad Lan, 65, yang bersut lengkap berwarna kelabu membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-14 dibacakan di hadapan Azura, dia didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM7.45 juta daripada Pengarah Syarikat Optimus Capital Sdn Bhd, Mazrul Haizad Marof menerusi 14 cek jurubank Malayan Banking Berhad dibayar ke akaun CIMB Investment Bank Berhad Client Trust dengan tertuduh mempunyai kepentingan.

Ia sebagai upah bagi membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia’ .

Bagi pertuduhan ke-15, Mohammad Lan didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan wang berjumlah RM10 juta daripada Mazrul Haizad sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of a Commercial Building Comprises 281 Units of Student Accommodation known as 746, Swanston Street, Carlton, Vic 3053 Australia’.

Sementara untuk pertuduhan ke-16 dan 17, dia dituduh secara rasuah menerima suapan membabitkan amaun sama (RM10 juta) daripada individu sama melalui dua cek jurubank Malayan Banking Berhad yang dibayar ke dalam akaun CIMB Investment Berhad Client Trust untuk kepentingan tertuduh bagi tujuan sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Mont Kiara dan Solaris Mont Kiara, dekat sini, antara September 2012 dan 26 Julai 2013, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, .

Bagi pertuduhan ke-18, Mohammad Lan didakwa secara rasuah cuba memperoleh wang tunai berjumah AUD$1 juta (RM3.09 juta) daripada pemilik syarikat Marinn Property Pte.Ltd serta Carlton Garden Pte Ltd., Datuk Ding Pei Chai manakala bagi pertuduhan ke-19 dan ke-20, dia didakwa memperoleh suapan RM3 juta daripada individu sama.

Wang tersebut adalah sebagai satu dorongan untuk mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham syarikat tersebut antara Ding dan Mara Inc.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan sekitar Mei dan Jun 2013 di Connoisseurs Lounge & Restaurant dan tempat letak kereta KL Golf & Country Club (KLGCC)  di sini, serta di hadapan sebuah rumah di Bukit Bandaraya di sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ke-21 dan 22 dihadapi tertuduh di hadapan Rozina, dia didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM10 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke akaun semasa dan akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad yang juga milik tertuduh, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 10 Dis 2012 di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin berikutan hukuman penjara bagi seksyen-seksyen itu melebihi 10 tahun.

“Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi pelepasan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada RM400,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Mohammad Lan, tidak membantah jumlah jaminan itu sebaliknya memohon jaminan dibayar secara ansuran iaitu RM200,000 pada hari ini dan bakinya pada atau sebelum 15 Feb ini.

“Tiada risiko untuk anak guam saya melarikan diri kerana beliau telah dikenakan ikat jamin RM10,000 oleh pihak SPRM sejak 2016. Beliau juga mempunyai masalah jantung dan tulang belakang,” kata peguam itu.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan dia juga dibenarkan membayar wang jaminan itu secara ansuran seperti dipohon selain pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula bagi kesemua kes.

Pihak media yang membuat liputan pada prosiding hari ini diberi pas untuk mengikuti kes melalui pautan video di sebuah bilik.

Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 dikeluarkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak membenar liputan media semasa prosiding di mahkamah terbuka kecuali untuk kes melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, mahkamah boleh mempertimbang untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung atau kemudahan liputan media menerusi aplikasi zoom. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas