Berita

Petugas media terima sumbangan KOPETRO sempena sambutan Tahun Baru Cina

|
- Diterbit 26 Februari 2021 2:46 AM MYT

KOPERASI Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah menyampaikan sumbangan cenderahati sempena sambutan Tahun Baru Cina kepada petugas media di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengurus Kanan Koperasi Korporat KOPETRO Ahmad Hazil Abd Lateff berkata program ini dijalankan sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih petugas media membuat liputan berita dan menyebarkan maklumat sahih kepada masyarakat semasa negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini adalah penghargaan KOPETRO kepada rakan-rakan media yang merayakan Tahun Baru Cina, diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka sekali gus memberi semangat supaya mereka dapat bekerja dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 50 beg makanan sejuk beku jenama LengQuas telah disumbangkan kepada petugas media, dengan penyampaian sumbangan dijalankan dalam kesederhanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan.

Selain menyantuni warga media yang menyambut Tahun Baru Cina, Ahmad Hazil berkata sumbangan itu turut disampaikan kepada petugas media pelbagai bangsa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas