DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui di sebalik perjuangan dalam arena politik, isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan sumber kekuatan utamanya.
Perdana Menteri berkata Azizah sentiasa mengingatkannya untuk membaca doa yang membawa maksud ‘Dengan nama Allah SWT yang bersama nama-Nya itu apa-apa sahaja di bumi atau di langit tidak boleh memberi mudarat dan Dialah zat yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’
“Azizah dan anak-anak adalah insan yang sentiasa ada sebagai penguat semangat ketika berdepan dengan dugaan hebat. Banyak beban ditanggung oleh Azizah, anak-anak dan rakan-rakan. Cukuplah dengan beban itu.
“Saya sukar mengulas kerana ada episod yang telah kita lupakan kerana sakit dan menyedihkan,” ujar beliau sejurus tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story yang menyingkap kisah perjuangan beliau yang tidak didedahkan sebelum ini.
Menurut beliau walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak 100 peratus tepat, namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan merupakan kejadian sebenar.
“Sebagai orang yang diceriterakan tentunya saya dan Azizah rasa tersentuh. Episod-episod yang dipaparkan dalam filem ini betul (realiti). Isu-isu yang dibangkitkan juga adalah benar,” ujar beliau turut memuji kehebatan sutradara serta barisan pelakon hebat.
Terdahulu turut hadir, isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah; Pengarah filem, Viva Westi; pelakon utama, Farid Kamil Zahari dan penyanyi lagu tema filem tersebut, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Wan Azizah bersyukur dan berharap agar filem berkenaan mampu menangkis semua persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadap Anwar.
“Ia berikan sedikit gambaran bagaimana perjalanan kami dari dulu, ini juga untuk menangkis apa jua persepsi dulu. Anwar selama 23 tahun dipaparkan sebagai penjenayah, banduan, tidak mempunyai aura yang baik. Filem ini menangkis semua itu. Alhamdulillah syukur.
“Ini adalah antara tujuan yang kita nak sampaikan. Saya juga selalu berpesan kepada beliau, apa pun yang dilakukan, kena ingat Allah SWT,” ujarnya ketika ditemui di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang, pada Isnin.
Filem Anwar: The Untold Story yang bakal ditayangkan pada 18 Mei ini berlatarkan antara tahun 1993 dan 1998 menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangan beliau dalam menentang amalan rasuah.
Ia menampilkan pelakon Malaysia, Farid Kamil Zahari (Anwar Ibrahim) berpasangan sebagai suami isteri dengan pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa (Wan Azizah) selain Hasnul Rahmat (Dr Mahathir Mohamad), Firdaus Mat Joni, Piet Pagau dan Dewi Irawan. -WILAYAHKU