Berita

Pesakit pediatrik ceria terima hamper

ZAITUN (tengah) beramah mesra dengan seorang kanak-kanak yang sedang dirawat di Hospital Putrajaya sambil ditemani Murni (dua dari kanan) dan Suhaila (kanan). Foto: MUHAMMAD ARIFF NOOR AZMAN SHAH (YWP)
- Diterbit 17 Februari 2020 9:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Kehadiran isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar ke Wad Pediatrik Hospital Putrajaya sempena Program CSR Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) hari ini, menceriakan kira-kira 50 pesakit wad tersebut.

Beliau yang ditemani isteri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datin Murni Muda dan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Suhaila Sukri@Mohd. Salleh meluangkan masa selama satu jam bagi beramah mesra dengan pesakit dan keluarga.

Pada program anjuran YWP dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan hamper.

Menurut Zaitun, program tersebut diadakan bagi meraikan kanak-kanak yang dirawat di hospital sekali gus menceriakan mereka yang sedang menerima rawatan.

“Program CSR SHWP 2020 di Hospital Putrajaya ini merupakan acara terakhir yang mana sebelum ini pihak YWP sudah menyumbangkan 100 hamper kepada pesakit di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan 50 hamper di Hospital Labuan,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zaitun memberitahu, program tersebut akan diteruskan dengan menambah bilangan penerima. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas