Berita

Peruntukan terbesar bukti kerajaan tidak pinggirkan pelajar sekolah

- Diterbit 19 Oktober 2024 8:43 PM MYT

PENGUMUMAN Belanjawan 2025 yang menyaksikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar sebanyak RM64.1 bilion semalam membuktikan tiada pelajar yang terpinggir dalam mendapatkan bantuan dan kemudahan di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peruntukan itu membolehkan kerajaan memastikan sistem pendidikan negara terus cekap.

“Anak-anak kita semua dapat manfaat yang cukup besar seperti sekolah baru.

“Kemudian inisiatif melibatkan kantin, surau dan termasuk di Sabah dan Sarawak (untuk) meneruskan komitmen baiki sekolah-sekolah daif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.

Semalam, KPM telah diberi peruntukan sebanyak RM64.1 bilion untuk 2025, berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sekali gus menjadikan ia peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Mengulas lanjut, Fadhlina turut menyambut baik pengumuman pembinaan 11 Pusat Permata baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.

Beliau berharap peruntukan diterima itu dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan dalam negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas