AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pertubuhan-pertubuhan belia segera melaksanakan pelan transisi untuk melahirkan pelapis belia yang berkualiti.
Azizah berkata sudah tiba masanya pertubuhan belia digerakkan oleh generasi belia yang berumur 30 tahun dan ke bawah agar seiring dengan matlamat dan aspirasi belia pada masa kini.
“Saya percaya Majlis Belia Wilayah Persekutuan sebagai badan induk pertubuhan di Kuala Lumpur ini telah tersedia dengan transisi kepimpinan dan kelahiran belia di negara ini.
“Anak muda Malaysia hari ini hanya mahukan keadlian saksama untuk semua dan penurunan umur minimum mengundi juga dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara.
“Justeru itu, ruang dan platform ini juga berupaya melihat lebih ramai golongan muda terlibat aktif dalam membuat keputusan berkaitan masa depan negara sekali gua menjadi pemimpin baik di peringkat persekutuan mahupu negeri,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WPKL, Asmori Sa’ahari dan Presiden Majlis Belia WP, Mohamed Naseer Mohamed.
Pada majlis berkenaan, Azizah merasmikan dan turut menyampaikan beberapa pengiktirafan Anugerah antaranya Anugerah Perdana Belia Negara, Anugerah Pingat Jasa Belia dan Anugerah Pingat Bakti Belia.
Terdahulu,Sambutan Hari Belia Negara 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur dengan bertemakan ‘Ini Masa Kita’.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini dengan menyertai pelbagai aktiviti disediakan antaranya Pound Fit, Pertandingan Tarian Tradisional, Auto Show, Saringan Kesihatan Percuma dan banyak lagi. – WILAYAHKU