Artikel

Pertolongan Cemas Psikologi dipraktikkan bersama

- Diterbit 3 Mac 2023 5:00 AM MYT

BENCANA adalah peristiwa atau kejadian yang mengancam dan mengganggu kehidupan masyarakat yang disebabkan faktor alam atau bukan alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, kemalangan dan kebakaran sehingga mengakibatkan adanya korban, kerosakan, kerugian harta benda dan memberikan kesan terhadap psikologi iaitu kesihatan mental.

Bantuan kecemasan seperti peralatan perubatan adalah perkara ‘wajib’ dan sangat diperlukan apabila berlakunya bencana. Namun, tahukah anda selain menerima bantuan rawatan daripada luar, mangsa bencana juga sebenarnya sangat memerlukan bantuan dari sudut psikologi bagi membantu mereka daripada menghadapi kesan negatif terhadap mental akibat daripada bencana tersebut. Justeru, bantuan psikologi boleh digunakan untuk membantu mangsa dalam mengawal impak dari sudut psikologi terhadap bencana yang berlaku. Bantuan psikologi juga disebut sebagai pertolongan cemas psikologi (Psychological First Aid atau PFA).

PFA terdiri daripada satu set tindakan membantu yang sistematik bertujuan untuk mengurangkan tekanan selepas trauma awal dan menyokong fungsi penyesuaian jangka pendek dan jangka panjang. PFA adalah melibatkan bantuan kemanusiaan, sokongan dan praktikal untuk mangsa bencana yang mengalami pendedahan kepada tekanan yang serius serta memerlukan sokongan. Sokongan ini termasuk memberi penjagaan dan sokongan praktikal yang tidak mengganggu, menilai keperluan dan kepentingan mangsa, membantu mangsa dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pertolongan kesihatan mendengar empati luahan mangsa dan membantu mangsa untuk berhubung terhadap maklumat, perkhidmatan yang disediakan dan sokongan sosial yang diperlukan oleh mangsa bencana.

Kesukaran yang dialami oleh emosi mangsa tidak kelihatan seperti kecederaan fizikal, tetapi kesannya adalah sama di mana keduanya menyakitkan dan melemahkan mangsa. Berdasarkan trageditragedi yang berlaku baru-baru ini, semestinya mangsa bencana tersebut akan mengalami salah satu emosi seperti terkejut, keliru, tidak percaya, takut, bimbang dan sedih. Adalah menjadi perkara biasa apabila mangsa bencana dipengaruhi secara emosi selepas mengalami dan melalui peristiwa yang mengubah kehidupan mereka. Namun, sekiranya emosi ini berlebihan dan tidak dikawal dengan baik, maka berisiko untuk menjejaskan kesihatan mental mangsa. Oleh itu, dari sudut pengurusan emosi mangsa, persediaan awal dari aspek psikologi amat penting bagi mengatasi tekanan akut dan membantu memberi kekuatan serta semangat kepada mangsa.

Melalui PFA, mangsa bencana akan dibantu untuk mengawal tekanan akut tersebut supaya mangsa dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik agar dapat mewujudkan dan mengekalkan persekitaran dari aspek keselamatan, ketenangan dan keselesaan, keterkaitan, memperkasakan diri dan harapan.

PFA bukan sahaja boleh digunakan kepada mangsa malah juga kepada keluarga mangsa. Dalam tragedi tanah runtuh dan banjir yang berlaku baru-baru ini, semestinya kesedihan dialami oleh ahli keluarga yang mengalami kehilangan orang tersayang dalam tragedi tersebut. Berdasarkan terapi kesedihan, terdapat lima peringkat kesedihan yang dialami oleh individu yang mengalami kehilangan dalam hidup.

Peringkat tersebut adalah denial di mana individu yang mengalami fasa ini akan menafikan perkara yang telahpun berlaku dalam hidup.

Peringkat kedua, kemarahan dan peringkat ini adalah normal bagi individu yang mengalami kesedihan akibat kehilangan di mana individu akan mula memarahi diri sendiri, rakan-rakan, orang sekeliling malah juga mempersoalkan berkenaan takdir hidup yang dialaminya.

Peringkat ketiga adalah tawar-menawar dan di peringkat ini individu akan meminta dan memohon dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semula apa yang hilang.

Peringkat keempat adalah kemurungan. Kemurungan dalam situasi ini bukanlah satu penyakit mental yang bermasalah tetapi sebaliknya ia adalah normal apabila individu yang mengalami kesedihan ini untuk mengasingkan diri mereka, kurang bercakap dan kurang bersosial. Ini merupakan proses untuk penyembuhan terhadap kesedihan yang dialami.

Peringkat terakhir adalah penerimaan. Pada peringkat penerimaan ini, individu mula sedar akan kehilangan yang dialami dan redha dengan takdirnya. Namun begitu, penerimaan ini bukanlah bermakna bahawa individu itu telah sembuh sepenuhnya daripada kesedihan kerana perasaan sedih akibat kehilangan tidak akan hilang.

PFA bukanlah khusus kepada profesion kaunseling dan psikiatri semata-mata tetapi ia melibatkan kesemua individu yang bertanggungjawab terhadap peristiwa atau situasi yang berlaku dan tidak memerlukan sebarang kelayakan khas. Mana-mana individu yang mendapati bahawa diri mereka berada di kawasan atau tempat yang mengalami krisis bolehlah mentadbir atau mengaplikasikan PFA ini dalam membantu mangsa yang mengalami reaksi stres akut, individu yang berisiko mengalami kesukaran untuk berfungsi dengan baik akibat penyakit atau masalah sosial, individu yang terselamat dari bencana tetapi mengalami trauma dan petugas barisan hadapan yang menguruskan bantuan krisis.

Terdapat empat prinsip tindakan dalam PFA yang perlu dititikberatkan oleh sukarelawan iaitu persediaan (preparation), kenal pasti (look), mendengar (listen) dan menghubungkan (link).

Pertama, persediaan atau persiapan. Pengetahuan berkenaan jenis bencana yang dialami, tahap bencana, keadaan semasa dan sejauh mana keperluan dan kebimbangan perlulah diketahui terlebih dahulu sebelum sukarelawan memberikan pertolongan. Bukan itu sahaja, kenal pasti juga perkhidmatan dan bantuan yang telah disediakan dan isu-isu keselamatan yang berlaku terhadap mangsa. Sebagai contohnya, sukarelawan yang ingin membantu mangsa perlulah bersiap sedia dari sudut fizikal, mental dan pengetahuan.

Dari sudut fizikal, sukarelawan perlu mempersiapkan diri dari segi kesihatan di mana pastikan kesihatan diri sendiri berada dalam keadaan baik sebelum memberi pertolongan kepada mangsa. Kesan emosi bukan sahaja dihadapi oleh mangsa malah turut sama dihadapi oleh orang yang melihat terutamanya sukarelawan dan penyelamat pada waktu kejadian. Golongan ini berdepan dengan rintangan dan cabaran serta perasaan yang berkecamuk semasa proses untuk membantu mangsa yang berdepan dengan bencana kerana individu inilah menyaksikan penderitaan yang dialami oleh mangsa bencana. Justeru, individu ini juga berisiko untuk mendapat Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). Oleh itu, penting untuk sukarelawan mempersiapkan diri dari sudut mental juga.

Kedua, kenal pasti terlebih dahulu aspek keselamatan mangsa dan keselamatan kawasan kejadian sebelum bertindak membantu mangsa bencana tersebut dan sekali gus untuk mengelakkan sukarelawan PFA daripada turut sama terkesan. Kenal pasti juga aspek klien sama ada intervensi perubatan yang diperlukan atau sebagainya serta nilai sejauh mana keperluan dan kebimbangan yang dihadapi oleh mangsa tersebut. Bagi tragedi yang disenaraikan di atas, sebelum sukarelawan turun padang untuk membantu, mereka perlu terlebih dahulu mengambil tahu keadaan semasa mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut serta keadaan kawasan di sana sama ada selamat atau tidak untuk mereka pergi memberi bantuan atau sebaliknya memberi kemudaratan terhadap diri mereka. Contohnya seperti banjir, adakah kawasan tersebut masih banjir, bagaimana paras air di sana, di mana mangsa-mangsa banjir ini ditempatkan dan sebagainya perlu diambil tahu.

Seterusnya, berkenaan keperluan mangsa, adakah sudah terdapat sukarelawan lain yang membantu di sana dan ambil tahu keperluan yang belum diberikan supaya tidak berlakunya pertindihan bantuan yang sama daripada sukarelawan lain kepada mangsa. Malah, sukarelawan yang turun padang juga dapat bersama-sama melengkapkan keperluan mangsa banjir tersebut.

Ketiga adalah dengar iaitu berhubung dengan klien yang memerlukan sokongan. Mula bercakap dengan mangsa dan perkenalkan diri sebagai sukarelawan yang ingin membantu mangsa. Berikan perhatian sepenuhnya semasa mangsa berkongsi perasaannya dan aplikasikan kemahiran mendengar yang aktif serta dengar luahan hati mangsa dengan empati agar mangsa merasa perasaannya diterima dan merasa lebih tenang.

Tambahan, sukarelawan juga boleh mengaplikasikan teknik validasi emosi dan tenangkan mangsa sewajarnya sekiranya perlu. Kemudian, setelah mangsa kelihatan lebih tenang dan selesa berkongsi, tanyakan tentang keperluan dan kebimbangan yang dihadapi oleh mangsa dan sediakan keperluan tersebut untuk membantu mangsa.

Keempat adalah menghubungkan mangsa dengan bantuan praktikal bagi memenuhi keperluan dan akses bantuan perkhidmatan. Berikan sokongan sosial serta bantu mereka berdepan dengan masalah yang dihadapi secara positif serta salurkan maklumat yang dapat membantu mangsa dari aspek keperluan atau psikologikal. Sekiranya mangsa bencana mengalami trauma yang kuat bila mana mangsa memperlihatkan simptom tekanan yang berat atau melampau seperti berteriak dan menangis tanpa henti dalam tempoh masa yang lama, berlebihan sehingga sukar untuk dikawal, maka bantuan segera perlu diberikan untuk mangsa tersebut.

Prinsip yang terakhir ini iaitu hubungkan boleh digunakan untuk kejadian ini di mana sukarelawan perlu menghubungkan mangsa dengan pihak-pihak yang lebih bertanggungjawab dan mahir seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.

Kesimpulannya, Pertolongan Cemas Psikologi boleh membantu semua orang termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa, warga emas, keluarga dan komuniti yang telah terdedah kepada peristiwa traumatik atau kecemasan termasuk responden dan penyedia perkhidmatan sokongan. Tetapi, diingatkan bahawa PFA bukanlah ubat atau rawatan gantian yang mampu menyembuhkan sesuatu kesan yang dialami oleh mangsa. Namun, PFA dapat membantu mangsa dalam menghadapi dan mengawal tekanan akut dengan baik agar dapat mencapai kesejahteraan mental yang tinggi.

PENULIS merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, manakala Dr Azmawaty Mohamad Nor adalah Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas