“TIADA sebarang perpindahan akan berlaku dalam bulan Ramadan, tidak mungkin selepas raya,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ekoran dakwaan penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru mendapat notis pengosongan rumah dalam masa terdekat.
Kata Shahidan, penduduk hanya menerima surat pemakluman bukan notis pengusiran seperti yang dilaporkan.
“Ia adalah proses perundangan yang dimaklumkan kepada pihak terlibat. Bezanya apabila dimaklum dalam bulan puasa, orang terkejut.
“Proses berunding antara kedua-dua belah pihak iaitu pemaju dan wakil penduduk masih lagi berjalan untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik. Jadi, mereka tidak akan berpindah dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Biarpun ia bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya namun beliau mengambil berat tentang kebajikan warga Wilayah Persekutuan.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan penduduk menerima Borang K yang meminta mereka mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari. – WILAYAHKU