PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) ‘Anti Ali Baba’ perlu dipercepatkan bagi mengekang penguasaan warga asing dalam perniagaan kecil dan sederhana di kawasan-kawasan utama di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat Dewan Negara, Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ia antara syor dikemukakan jawatankuasa itu berhubung perkara tersebut.
Katanya, ini selepas pihaknya memanggil saksi-saksi dari Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai isu itu.
“Selain itu, jawatankuasa juga telah menyertai operasi bersepadu ke atas aktiviti perniagaan warga asing di utara Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu bagi mendapatkan maklumat dan input berkenaan operasi yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama agensi penguat kuasa bagi isu yang melibatkan warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Penyata Jawatankuasa – Penguasaan Warga Asing Dalam Perniagaan Kecil dan Sederhana di Dewan Negara hari ini.
Mohd Hatta memberitahu, selain itu pihaknya mengesyorkan tindakan yang lebih tegas dan hukuman lebih berat perlu diberikan kepada majikan-majikan yang melepas tangan untuk menghantar pulang pekerja-pekerja warga asing mereka ke negara asal.
“Kita juga mengesyorkan kajian dan penyelarasan undang-undang sedia ada terutamanya kuasa untuk menyemak, menyiasat dan menangkap warga asing untuk diintegrasikan dan diturunkan kepada agensi-agensi penguat kuasa dalam negara dengan Jabatan Imigrisen menjadi agensi penguat kuasa penyelaras.
“Selain itu penambahan peruntukan kewangan untuk sumber manusia, logistik dan teknologi terkini perlu diberikan kepada agensi atau jabatan yang menjalankan penguatkuasaan terhadap warga asing,” katanya.
Terdahulu beliau berkata, melalui hasil prosiding dan lawatan kerja jawatankuasa yang telah dilakukan, dapatan dan penemuan utama jawatankuasa adalah PBT tiada kuasa untuk melaksanakan proses pembuktian dan mengenal pasti pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang lengkap.
Selain itu katanya, modus operandi warga asing semakin licik dan taktik mereka sering berubah menjadikannya lebih sukar untuk dikesan oleh penguat kuasa.
“Kita juga mendapati perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara tetapi diserah, dipajak atau disewakan kepada warga asing (amalan Ali Baba) semakin berleluasa,” tambahnya. – WILAYAHKU