Berita

Peraturan dijaga, rakyat dibantu – Annuar ulas isu penjajaan

ANNUAR (kiri) mendengar masalah penjaja di Taman Tasik Titiwangsa semasa membuat tinjauan petang tadi.
- Diterbit 12 Ogos 2020 1:31 PM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa akan mencari penyelesaian terhadap masalah penjajaan yang berlaku di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, penjaja terlibat mungkin akan ditempatkan di lokasi khusus bagi memberi ruang kepada mereka untuk mencari rezeki dan sumber yang halal.

“Dari segi perbandaran, (mereka) perlu buat tempat bersih, pengguna selamat dan sedikit sebanyak garis panduan supaya tempat ini (Taman Tasik Titiwangsa) diuruskan dengan baik.

“Saya tidak boleh menidakkan apa yang jabatan buat. Sama-sama cari idea tetapi peraturan juga perlu dijaga dan rakyat turut dibantu,” tegasnya selepas membuat tinjauan di taman berkenaan petang tadi.

Semasa sesi itu, beliau turut meluang masa dan mendengar masalah yang dihadapi susulan video tular membabitkan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengasari penjaja setempat pada Sabtu.

Menurut Annuar, sebelum ini, lokasi tumpuan pengunjung itu dipenuhi penjaja, namun kebanyakan mereka tidak berjaya mendapatkan tapak perniagaan yang disediakan kerana gagal mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

“Perkara yang perlu diberi perhatian adalah rakyat yang nak cari makan, kena bantu jangan susahkan. Bukan hanya kuatkuasakan peraturan tetapi kena lihat sudut rakyat, saya risau kalau mereka tidak kerja, mencuri atau menyamun.

“Oleh itu sebagai kerajaan, kena cari peluang dan ada caranya,” jelas beliau yang turut mendapat maklumat daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas