Berita

Penularan video bunuh diri boleh undang peniru, kata KP kesihatan

MASYARAKAT diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video ataupun mengedarkan gambar di media sosial tentang individu yang membunuh diri.
- Diterbit 30 Jun 2021 4:23 AM MYT

TINDAKAN viral di media sosial video bunuh diri boleh mengundang ‘copycat suicide’ (peniru bunuh diri) bagi mereka yang berisiko, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa.

Menurut beliau, setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik Covid-19.

“Masyarakat juga diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video ataupun mengedarkan gambar di media sosial tentang individu yang membunuh diri.

“Bunuh diri boleh dicegah, namun tindakan viral di media sosial boleh mengundang ‘copycat suicide’ (peniru bunuh diri) bagi mereka yang berisiko,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas beliau, budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan individu yang menghadapi masalah dan terkesan dengan pandemik perlu mendapatkan pertolongan serta tidak menghadapinya seorang diri.

“Adalah penting mengenal pasti perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling, dan menyalah guna alkohol dan dadah,” ujarnya.

Justeru, masyarakat diminta untuk lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Selain itu, simptom awal kemurungan pula adalah seperti menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga di samping menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

Malah, katanya sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 kes pada 2019 dan sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392; Talian Kasih 15999 / Whatsapp Talian Kasih di 019-2615999 (bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan); KSK-Care JAKIM di Whatsapp 0111-9598214 dan Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan individu yang menghadapi masalah dan terkesan dengan pandemik perlu mendapatkan pertolongan serta tidak menghadapinya seorang diri. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas