Berita

Penjaja perlu patuhi SOP, jangan salah guna kemudahan yang diberi

ANNUAR menyampaikan lesen penjaja kepada peniaga OKU, Abu Samah Abdullah. Turut kelihatan Dr. Santhara (dua dari kiri), Rosida (dua dari kanan) dan Norhisham (kanan).
- Diterbit 2 Julai 2020 10:07 AM MYT

Inisiatif pemberian surat tawaran permit sementara kepada 80 penajaja di Setapak Indah susulan kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa ke kawasan tersebut kira-kira 10 hari lalu bagi melihat aktiviti penjaja di situ.

Ia untuk memberi peluang kepada warga kota untuk mencari rezeki dan menambah pendapatan terutama ketika ini negara kita masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Annuar bagaimanapun mengingatkan penjaja bahawa permit berkenaan bukan bermakna penjaja boleh berniaga secara bebas tanpa pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini.

ANNUAR menyerahkan surat tawaran lesen penjaja waktu terhad kepada salah seorang peniaga di Setapak Indah, Kuala Lumpur.

“Semua penjaja harus bersedia untuk mematuhi semua SOP PKPP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta garis panduan yang dikeluarkan oleh DBKL.

“Misalnya susun atur gerai perlulah mengambil kira penjarakan dan sistematik, pengendali makanan perlu memakai apron dan sarung tangan, pengurusan sampah baik, kawalan trafik lancar dan pelbagai perkara lagi.

“Jika peniaga di sini dapat buktikan pada DBKL mereka boleh patuhi segala SOP ini serta tidak menyalah guna permit diberikan (seperti menjual permit kepada pihak lain), mungkin kita boleh pertimbangkan (pemberian permit) di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan surat tawaras permit sementara waktu terhad kepada penajaja di Setapak Indah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Annuar turut mengharapkan agar para peniaga dapat bekerjasama dengan menimbal balas apa yang pihak DBKL permudahkan.

“Kemudahan yang diberi jangan disalah gunakan. Jangan ada ‘middle man’, jangan ada pihak-pihak yang memperniagakan kemudahan yang diberikan.

“Kita memudahkan semua ini sebagai satu kaedah untuk memberi peluang kepada adik kakak yang ingin mencari rezeki melalui jualan mereka masing-masing,” katanya.

Difahamkan, lesen penjaja gerai tepi jalan dibekukan DBKL sejak 1 Januari 2016 bagi membendung kegiatan penjaja jalanan tidak berlesen.

Bagaimanapun, DBKL memperkenalkan lesen penjaja terhad bermasa pada tahun lalu yang mula dikeluarkan sejak 15 April 2019 membabitkan tempoh permit antara tiga hingga enam bulan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas