Berita

Peningkatan kos haji luar kawalan Tabung Haji

Kredit foto: RTM
- Diterbit 8 November 2023 6:16 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat bahawa peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan Tabung Haji.

Jelas beliau, antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut berikutan kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi; kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika.

“Faktor lain ialah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan, dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Di samping itu, terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya hari ini.

Tambah Mohd Na’im, kenaikan kadar cukai tambah nilai (Value Added Tax) di Arab Saudi daripada 5 peratus kepada 15 peratus bermula bulan Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas