Berita

Peniaga R&R lebuh raya dikecuali bayar sewa 6 bulan

PENIAGA di R&R lebuh raya mengalami penurunan pelanggan ekoran PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mac 2020 12:11 PM MYT

PUTRAJAYA – Penyewa gerai kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di lapan lebuh raya utama negara boleh menarik nafas lega apabila dikecualikan bayaran sewa selama enam bulan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan pengurusan lebuh raya itu adalah PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor ( LATAR), ANIH Berhad, Maju Expressway (MEX), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd (Prolintas), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Grand Saga Sdn. Bhd (Grand Saga) dan Grand Sepadu (NK) Sdn. Bhd.

“Berita baik kepada penyewa di lebuhraya. Walaupun tidak banyak kenderaan melalui lebuhraya (kini) tetapi mereka masih perlu membayar sewa.

“Jadi, pengurusan lebuh raya PLUS, ANIH,LATAR, MEX, Prolintas, Kesas, Grand Saga dan Grand Sepadu bersetuju mengecualikan bayaran sewa kedai kepada penyewa kedai di R&R,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan aset Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) akan digunakan dalam penghantaran barangan keperluan kepada penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kita mendapat aduan penduduk dari rumah panjang contohnya berhubung pemasalahan ini.

“Justeru, tidak perlu khuatir kerajaan akan memastikan bekalan dan keperluan asas untuk mereka mencukupi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas