Berita

Penghantar GrabFood parah rempuh BMW tukar haluan mengejut

DETIK ketika penunggang Grab Food merempuh kereta BMW.
- Diterbit 9 Mac 2020 8:59 AM MYT

PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan aplikasi GrabFood parah selepas merempuh sebuah kereta yang mengubah laluan tiba-tiba di Lebuhraya Persekutuan di sini petang semalam.

Muhammad Nizam Mazlan, 30, patah tulang bahu dan cedera di kepala dan beberapa bahagian anggota badan lain dalam kejadian pukul 1.10 petang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis BMW berwarna hitam telah mengubah laluan secara mengejut dari lorong paling kanan untuk susur keluar ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dari arah Subang.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah belakang gagal mengelak sebelum merempuh BMW tersebut.

Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak berapa kali di jalan raya.

“Pemandu BMW didapati tidak memberhentikan kenderaan dan terus meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya kini sedang mengesan pemandu BMW tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh salurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820,” tegasnya.

Insiden itu tular di laman sosial Facebook menerusi video berdurasi satu minit daripada rakaman pengguna jalan raya. – Wilayahku.

VIDEO yang sempat dirakam menggunakan ‘dashcam’.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas