Berita

Penerima PRIHATIN 2020 dikecualikan melalui proses permohonan di bawah PERMAI

- Diterbit 15 Februari 2021 10:43 AM MYT

PEMANDU e-hailing, teksi, bas sekolah dan bas persiaran yang merupakan penerima Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020, dikecualikan melalui proses permohonan untuk bantuan tunai RM500 secara sekali beri di bawah Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) 2021.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hanya saringan lesen sahaja yang perlu dibuat.

“Untuk mempercepatkan proses pembayaran, pemandu yang telah menerima bantuan PRIHATIN 2020 sebelum ini akan dikecualikan daripada melalui proses permohonan bagi menerima bantuan PERMAI 2021 dan hanya saringan lesen sahaja yang perlu dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata bantuan tunai PERMAI ini akan memanfaatkan 118,000 pemandu yang telah diluluskan dan mereka yang masih belum membuat permohonan.

Beliau berkata semua pemandu teksi dan kereta sewa yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini diberi kelulusan secara automatik tanpa melalui saringan kriteria kelayakan sekali lagi untuk menerima bantuan PERMAI.

Semua pemandu bas persiaran yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini tidak perlu disaring untuk caruman PERKESO sekali lagi dan hanya saringan lesen memandu yang sah sahaja akan dibuat, katanya.

Wee berkata semua pemandu bas sekolah yang telah menepati syarat kelayakan bantuan PRIHATIN sebelum ini tidak perlu didaftarkan semula oleh syarikat masing- masing dan hanya saringan lesen vokasional, PSV yang sah sahaja akan dibuat.

Syarat pendapatan minima RM1,200 untuk pemandu e-hailing bagi mendapatkan bantuan PRIHATIN sebelum ini dikurangkan kepada minima RM700 di bawah PERMAI untuk bulan Oktober 2020, November 2020 atau Disember 2020.

Pada 18 Jan lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan PERMAI dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion, menggariskan 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Muhyiddin berkata inisiatif itu juga termasuk pemberian wang tunai sekali beri melibatkan peruntukan sebanyak RM66 juta yang memberi manfaat kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, kereta sewa dan e-hailing.

Wee berkata pemberian bantuan wang tunai RM500 secara sekali beri untuk pemandu e-hailing, teksi, bas sekolah dan pemandu bas persiaran adalah sebahagian daripada 22 inisiatif PERMAI untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat semasa berdepan pandemik COVID-19.

“Ramai pemandu di sektor pengangkutan awam terus memberikan khidmat kepada masyarakat biarpun berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19, semata-mata mahu memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan serta kehidupan orang ramai berjalan dengan baik. Dalam masa sama, kerajaan juga menyedari bahawa para pemandu ini perlu diberikan bantuan bagi membolehkan mereka menampung keperluan harian,” katanya.

Justeru, Wee menggesa semua pemohon baharu supaya memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sesuai dengan kriteria yang ditetapkan untuk memastikan pemprosesan dan pengagihan bantuan tunai mereka tidak lagi tertangguh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas