Berita

COVID-19: Thailand kes varian Afrika Selatan

- Diterbit 15 Februari 2021 10:38 AM MYT

SEORANG lelaki Thailand yang pulang dari Tanzania dan sedang menjalani kuarantin wajib didapati positif varian COVID-19 Afrika Selatan.

Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata lelaki berusi 41 tahun itu, seorang peniaga permata tiba di Thailand pada 29 Jan dan menjalani kuarantin di kemudahan kuarantin alternatif (ASQ).

Beliau berkata lelaki itu diuji positif varian COVID-19 Afrika Selatan pada 3 Feb dan kini dirawat di Unit Penyakit Berjangkit Palang Merah Thailand.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa pesakit telah tinggal di ASQ sebaik tiba. Tiada kontak antara pesakit dengan orang awam. Semua petugas perubatan di hospital dan ASQ yang mempunyai kontak dengan pesakit telah menjalani ujian (COVID-19). Semua keputusan adalah negatif.

“Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) memantau situasi varian baharu ini di negara lain. Jabatan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan dengan melakukan analisis genetik virus yang dijumpai pada pesakit yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu (COVID-19) itu,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Melihat kepada bilangan varian baharu COVID-19 yang muncul di dunia, Natapanu berkata Thailand mengadakan proses saringan lebih ketat bagi penumpang yang tiba dari negara-negara yang melaporkan varian baharu virus itu.

“Pesakit yang diuji positif dengan varian baharu akan berada di hospital lebih 14 hari,” katanya.

Sementara itu, Thailand merekodkan 143 kes baharu COVID-19 dan dua kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 24,714 kes dan 82 kematian.

Pembantu jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata dua kematian membabitkan seorang lelaki Thailand berusia 62 tahun dari Ubon Ratchathani yang meninggal dunia pada Ahad dan seorang lagi lelaki Thailand berusia 78 tahun dari Samut Sakhon meninggal dunia pada Sabtu. Kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

Daripada 143 kes baharu, beliau berkata 132 adalah penularan tempatan iaitu 68 kes menerusi pengesanan kes aktif dan 64 yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 11 lagi kes import.

Beliau berkata wilayah Samut Sakhon, pusat wabak di Thailand kini mencatatkan 69 kes baharu.

“Pathum Thani mencatatkan 50 kes baharu COVID-19 menerusi pengesanan kes aktif yang melibatkan 37 warga Thai, lapan rakyat Myanmar dan lima dari Laos,” katanya.

Beliau berkata Pathum Thani adalah kluster terbaharu di negara itu apabila dua pasar – Pornpat dan Suchart – di daerah Thanyaburi mengesan lebih 200 kes COVID-19.

“Orang awam yang mengunjungi pasar berkenaan dinasihatkan untuk memantau keadaan kesihatan masing-masing dan segera ke hospital sekiranya mempunyai gejala COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas