Berita

Penduduk terseksa, lif rosak lebih seminggu

KEROSAKAN butang lif menyukarkan penduduk yang berada di aras tinggi untuk turun ke bawah atau naik semula.
- Diterbit 15 Jun 2020 7:57 AM MYT

BUKAN hanya letih terpaksa turun naik dari bawah hingga ke aras 10 sambil mengendong ibu yang lumpuh akibat stroke, malah, seorang penghuni Blok 94 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau ini juga letih membuat aduan.

Menurutnya yang ingin dikenali sebagai Razak, lebih 10 aduan dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tidak kurang juga puluhan panggilan yang dibuat kepada pejabat Pengarah DBKL dan bilik gerakan bagi mengetengahkan isu lif rosak di kawasannya.

Namun sejak tiga minggu lalu sehingga hari ini, masalah tersebut tidak diatasi oleh mana-mana pihak.

“Saya dah hubungi bilik gerakan lif, tetapi masih tiada tindakan diambil malah, makluman saya dijawab dengan endah tidak endah. Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai juga dimaklumkan.

“Saya perlu menjaga ibu yang menghidap stroke serta bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak,” luahnya kepada Wilayahku hari ini.

Berhadapan dengan kesulitan itu sejak seminggu lalu, Razak berharap aduan kerosakan lifnya mendapat perhatian supaya dia dapat membawa ibunya menjalani pemeriksaan di hospital mengikut temujanji yang ditetapkan.

Tambahnya, kerosakan lif yang dihadapi amat menyukarkan penghuni malah keadaan sentiasa berlaku dan berlarutan sejak sekian lama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas