Berita

Atlet boling negara dapat ‘lampu hijau’

ATLET boling mula berlatih hari ini. ATLET boling mula berlatih hari ini.
- Diterbit 15 Jun 2020 6:32 AM MYT

ATLET boling kebangsaan kini menarik nafas lega apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memulakan latihan di Sunway Mega Lanes, bermula hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan memberi kebenaran kepada sukan tidak bersentuhan dan sukan dalam dewan seperti badminton serta boling untuk dijalankan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) menerusi Setiausaha Agungnya, Maradona Chok berkata, MSN memberi kebenaran kepada atlet boling kebangsaan untuk mendapatkan penginapan sendiri di Lembah Klang, dengan syarat mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan MSN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami dibenarkan berlatih, tetapi hanya kepada atlet yang tidak memerlukan penginapan di MSN, Bukit Jalil, kerana mereka (MSN) perlu menyediakan penginapan terlebih dahulu sebelum membenarkan atlet menginap.

“Jadi, bagi atlet yang tinggal di Casa (asrama) dari luar (Lembah Klang), dinasihatkan supaya tinggal di kediaman masing-masing terlebih dahulu sehingga penginapan di asrama disiapkan.

“Pasukan elit lelaki dan wanita akan berlatih pada waktu yang berbeza, sementara skuad sandaran akan berlatih pada waktu petang untuk mengehadkan jumlah atlet dalam satu masa. Mereka akan menggunakan satu lorongan setiap seorang selain menerapkan langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat,” tambahnya.

Kebanyakan pemain dalam skuad elit, yang terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam wanita, dijangka memulakan latihan hari ini setelah tiga bulan tidak berlatih kecuali Adrian Ang dari Pulau Pinang yang akan menyertai latihan pasukan pada Rabu.

Ujar Maradona, perbincangan mengenai SOP bagi sukan tenpin boling juga telah dibincangkan bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan beberapa perkara perlu dititik beratkan semasa latihan sedang dijalankan.

“Salah seorang pemain perlu duduk ketika seorang lagi pemain sedang beraksi, begitu juga jika ada pemain yang berada di lorongan. Satu lorong permainan akan dikosongkan bagi memastikan jarak antara pemain melebihi dua meter dari tempat permulaan balingan.

“Jurulatih tidak dibenarkan melakukan kontak secara fizikal dengan pemain dan perlu mematuhi kriteria penjarakan sosial. Kontak fizikal antara pemain boling juga tidak dibenarkan. Sementara pemain berusia bawah 12 tahun disaran supaya tidak memulakan latihan di gelanggang,” kata Maradona.

Tegas Maradona lagi, MTBC tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menguatkuasakan SOP yang disediakan oleh KBS, namun MTBC akan menasihatkan pengendali pusat boling untuk mematuhi SOP yang ditetapkan MKN, KBS, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas