Berita

Penduduk terawal bangga perkembangan 25 tahun Putrajaya

PUTRAJAYA atau nama lamanya Prang Besar dipilih sebagai lokasi Pusat Pentadbiran Kerajaan, turut berada dalam senarai awal adalah Janda Baik (Pahang), Jelebu (Negeri Sembilan), Sepang dan Bukit Beruntung (Selangor).
- Diterbit 28 Ogos 2020 6:21 AM MYT

DALAM tempoh 25 tahun sejak dilancarkan pada 29 Ogos 1995, Putrajaya telah melalui pembangunan yang pesat sehingga menjadi bandar ikon negara dan contoh kepada pusat pentadbiran kerajaan di negara lain.

Sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya tahun ini, Bernama menemu bual dua individu yang merupakan antara penduduk terawal yang berhijrah ke bandar pentadbiran ini.

Bagi pesara G. Damodaran, 70, Putrajaya begitu dekat di hatinya apatah lagi beliau antara pegawai dalam pasukan yang dibentuk bagi mengkaji lokasi sesuai untuk pembangunan bandar pentadbiran ini.

“Tahun 1990, masa itu saya pegawai khas kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan saya terlibat meninjau lima tempat yang disenaraikan untuk kita buat satu pusat pentadbiran kerajaan iaitu Janda Baik (Pahang), Jelebu (Negeri Sembilan), Sepang, Bukit Beruntung dan Prang Besar (Selangor).

“Selepas kajian dibuat, akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika itu) pilih Prang Besar yang lepas itu ditukar namanya kepada Putrajaya. Tempat ini dipilih sebab lebih dekat dengan Kuala Lumpur, harga tanah di sini pada masa itu pun RM3 satu kaki persegi sahaja,” kata Damodaran kepada Bernama.

Berkongsi kisah yang mungkin tidak diketahui ramai, menurut Damodaran, bangunan pertama yang dibina di Putrajaya ialah Masjid Putra, diikuti oleh Bangunan Perdana Putra (Kompleks A) serta Kompleks Kerajaan B dan C.

Beliau mula bertugas dengan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 2 Nov 1999 sebelum berpindah bersama isteri dan dua anaknya dari Selayang, Selangor ke Kuarters Kerajaan Presint 9.

“Kuarters itu yang pertama dibuka dan saya antara tiga pegawai pertama yang masuk ke situ. Masa itu memang sunyi sebab tak ramai yang nak pindah sini. Kalau hujung minggu dan cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri langsung tiada orang,” katanya.

Damodaran yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah berkata beliau membuat keputusan untuk terus menetap di Putrajaya selepas bersara pada tahun 2006 dan membeli sebuah rumah teres di Presint 9.

Sebagai antara individu yang terlibat dalam perancangan pembangunan Putrajaya pada peringkat awal, beliau tidak menyangka bandar ini akan berkembang pesat dengan pantas seperti sekarang.

“Saya rasa pembangunan paling pesat berlaku antara tahun 2000 hingga 2010 dan selepas itu ada lebih banyak projek untuk menambah kawasan perumahan,” katanya sambil menambah Putrajaya kini menjadi bandar yang lengkap, indah dan selamat untuk warganya.

Seorang lagi pesara, Mahmud Jamaluddin, 64, berkata beliau bersama keluarga berpindah ke kuarters kerajaan Presint 16 di sini pada akhir tahun 2000 selepas Jabatan Perangkaan, tempat beliau berkhidmat berpindah dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

“Pada mulanya saya berulang-alik dari kuarters kerajaan Kampung Pandan sebelum saya pindah ke sini. Masa mula-mula masuk dahulu saya boleh pilih (unit) mana nak duduk sebab rumah semua kosong.

“Saya masih ingat lagi tak ramai yang nak tinggal di sini sampai Bahagian Pengurusan Hartanah waktu itu buat kempen ‘Jom Duduk Kuarters’, buka kaunter di pasar malam sebab nak ajak kakitangan kerajaan pindah sini,” katanya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata pada awalnya hanya terdapat sebuah sekolah di Putrajaya iaitu di Presint 8, dan berbeza dengan kini apabila setiap presint mempunyai sekolah, kecuali di Presint 15.

“Lima orang anak saya bersekolah di sini, cuma yang sulung sudah habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) waktu itu,” kata datuk kepada tujuh cucu itu.

Mahmud yang turut bergiat aktif dalam jawatankuasa penduduk berkata walaupun telah bersara, beliau bersama keluarga kekal menetap di Putrajaya kerana prasarananya yang lengkap dengan pembangunan terancang tanpa kesesakan seperti di bandar-bandar lain.

“Saya dan tiga anak saya beli rumah di sini sebab saya rasa kehidupan di sini sangat tenang. Masjid dan surau pun dah banyak sekarang, taman-taman pun banyak untuk beriadah. Memang seronok di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata dalam beberapa tahun pertama selepas dibuka, penduduk Putrajaya hanya berjumlah 20,000 hingga 30,000 dan kini meningkat kepada kira-kira 120,000 orang.

Berkongsi visinya untuk Putrajaya pada tahun 2050, katanya PPj berhasrat memastikan Putrajaya terus relevan sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan melalui pelaburan dalam bidang teknologi dan perkembangan ilmu.

Aminuddin berkata PPj akan bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menempatkan kampus bandarnya di sini selepas Heriot-Watt University Malaysia menjadi universiti pertama yang bertapak di Putrajaya pada 2015.

“Pada tahun 2050, kami pastikan taman-taman kami masih ada dengan pelan struktur 36 hingga 40 peratus Putrajaya kekal hijau. Ini satu statistik yang mesti kami kekalkan. Kita boleh maju dengan teknologi dan sebagainya, tetapi kehijauan dan kebersihan hendaklah kita kekalkan,” katanya. – – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas