Berita

Penduduk PA Seri Perak dapat manfaat program CSR kempen ‘Kita’

KHALID (tengah) bersama penduduk pada perasmian kempen Kita di PA Seri Perak, Sentul baru-baru ini.
- Diterbit 20 Februari 2020 10:13 AM MYT

SENTUL – Lebih 7,000 penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak bakal mendapat manfaat daripada program tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang bersifat holistik dengan menitik beratkan kelestarian di mana pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan dapat menerapkan semangat ‘kekitaan’ dalam kalangan penduduk.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, dengan mengetengahkan slogan kempen ‘Kita’, program ini dilihat mampu membela dan mengubah nasib golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kempen ini merupakan program anak angkat di Kuala Lumpur selepas kita laksanakannya sebelum ini di PA Seri Negeri Sembilan.

“Program sebegini perlu diperbanyakkan dengan melibatkan masyarakat perumahan awam, projek perumahan rakyat (PPR) dan golongan B40 kerana kita lihat selama ini putaran kemiskinan yang mengongkong pembangunan masyarakat ini dan ia ‘diwarisi’ generasi demi generasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program kempen ‘Kita’ di sini hari ini.

KHALID menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk PA Seri Perak.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Ahli Parlimen Kawasan Batu, Prabakaran M. Parameswaran; Pengarah Urusan YTL Cement Sdn. Bhd., Datuk Seri Michael Yeoh; Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn. Bhd., Datuk Hamidah Makhtar, dan Pengarah Program YTK Foundation, Datin Kathleen Chew Wai Lin.

Kempen yang dianjurkan oleh Sentul Raya Sdn. Bhd. (SRSB) dan YTL Foundation, dengan kerjasama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) ini, memperuntukkan dana hampir RM800,000.

Pada majlis itu, Khalid merasmikan ‘Ruang Kita’, dewan serba guna yang telah diubah suai dan dinaik taraf untuk kegunaan komuniti Seri Perak dan menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Perumahan Awam Seri Perak. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas