Berita

Bandar Malaysia tumpuan baharu

KHALID (kanan) bersama Shahruddin( tengah) dan Nor Hisham melibat buku draf PSKL 2040 selepas merasmikan Pameran Draf PSKL di Auditorium DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 21 Februari 2020 3:41 AM MYT

“Draf Pelan Struktur KL 2040 mula dipamer untuk maklum balas awam.

KUALA LUMPUR – Bagi menampung pertambahan penduduk baharu yang dijangka mencecah 2.25 juta menjelang tahun 2040, pembangunan Kuala Lumpur bakal bertumpu di kawasan pembaharuan bandar termasuk Bandar Malaysia.

Dalam hal ini, Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 meletakkan pengurusan lalu lintas sebagai perkara penting dengan menyasarkan modal split 70:30 pengangkutan awam menjelang 20 tahun lagi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pengangkutan awam akan menjadi medium penghubung utama. “Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
akan memastikan sokongan dipertingkatkan seperti bas perantara, park and ride dan kemudahan pejalan kaki yang selesa.

“Bagaimanapun, sekiranya usaha-usaha drastik ini tidak mencapai sasaran modal split yang ditetapkan, maka kerajaan wajar menimbang untuk menyekat kemasukan kenderaan persendirian ke dalam bandar Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Draf PSKL 2040 di Auditorium DBKL di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan serta Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

Khalid menjelaskan, PSKL 2040 yang bakal diwartakan hujung tahun ini merintis usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya untuk semua golongan masyarakat.

Katanya, visi Kuala Lumpur dalam pelan tersebut akan mengambil kira aspirasi war
ga kota terhadap pembangunan ibu kota dengan dinamik berprinsipkan pertumbuhan saksama, sejahtera, mapan dan berdaya tahan.

“PSKL 2040 akan mentrans formasikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dengan pendekatan inklusif, saksama, berdaya huni dan mapan dengan visi ‘Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua’.

“PSKL2040 menetapkan hala tuju pemajuan Kuala Lumpur yang menyasarkan keseimbangan dalam perancangan bandar bagi menangani cabaran yang dihadapi,’’ katanya.

Tambahnya, pelan struktur itu mengintegrasi penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pe ngangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan reruang awam bandar.

Pameran utama itu berlangsung di ruang legar bangunan tersebut setiap hari termasuk cuti umum sehingga 18 Mac ini.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas