Berita

Penduduk diseru terap agenda perpaduan, kukuhkan keharmonian

OTHMAN (enam dari kanan) bersama masyarakat etnik Bisaya pada Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 3 Jun 2023 9:00 AM MYT

PENDUDUK di Labuan diseru untuk menerapkan agenda perpaduan sebagai keutamaan dalam memperkukuh keharmonian kepelbagaian kaum dan bangsa di pulau itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Sambutan Minggu Perpaduan bertemakan Perpaduan Dalam Kepelbagaian mampu mencapai keharmonian dalam kalangan masyarakat menerusi detik-detik perpaduan.

“Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang menzahirkan ekspresi kasih dan pemaparan perasaan persahabatan serta persaudaraan erat yang mampu mengukuhkan semangat kekeluargaan selaras dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan Malaysia Madani,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Othman Che Jusoh.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Zulkifli Hashim.

Dalam pada itu, pelbagai acara turut diadakan pada sambutan selama dua hari tersebut antaranya pameran kebudayaan dan kesenian melibatkan lebih daripada lima etnik di pulau itu.

Terdahulu, Sambutan Minggu Perpaduan menerima kehadiran lebih 2,000 pengunjung dari dalam dan luar pulau itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas