Berita

Penduduk boleh pesan petugas PKPD beli barang

PASUKAN tentera mengawal pekarangan Menara City One, Kuala Lumpur yang diletak di bawah PKPD.
- Diterbit 5 April 2020 7:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Penduduk di tiga buah kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) boleh memohon para petugas di pusat-pusat yang disediakan bagi membelikan barangan yang mereka diperlukan.

Tiga kawasan PKPD adalah Hulu Langat, Selangor; Simpang Rengam, Johor dan Menara City One.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kawasan tersebut mempunyai pusat sehenti dalam memantau pergerakan dan penghantaran barangan.

Katanya, apa sahaja keperluan diperlukan boleh dimaklumkan kepada pusat tersebut untuk tindakan lanjut.

“Bagi pembelian barangan seperti lampin pakai buang dan susu, kita tidak hantar semua rumah kerana tidak tahu siapa yang memerlukan.

“Kalau hendak beli daging, rindu hendak makan daging, boleh buat aduan dan pesanan kepada pusat-pusat yang disediakan sebelum dibantu pembeliannya oleh petugas di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan segelintir penduduk di kawasan PKPD yang memerlukan barangan basah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga sesuatu produk dan makanan secara mendadak sepanjang PKP.

“Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa melakukan pemantauan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan di saat rakyat dalam kesusahan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas