DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis kompaun kepada pemaju tapak pembinaan perumahan berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini susulan insiden pencemaran air tasik di kawasan itu.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 82 (5).
Kenyataan itu menyebut berdasarkan siasatan pada Isnin lepas, faktor pembangunan bersebelahan kawasan tasik itu berkemungkinan menjadi punca kemerosotan kualiti air tasik.
“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati terdapat sedimen terampai dan ikan mati kelihatan pada permukaan air tasik.
“Bacaan insitu terhadap air menunjukkan air tasik itu kekurangan oksigen yang menyebabkan ikan-ikan mati,” menurut kenyataan itu.
DBKL sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan tasik itu pada setiap hari, menggunakan kaedah melempar bola lumpur ke dalam tasik bagi memastikan kandungan air berada pada tahap yang sesuai.
“Untuk jangka masa panjang pula, kerja-kerja memasang air pancut akan dilaksanakan bagi membantu meningkatkan oksigen di dalam air tasik berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu menerusi kenyataan berasingan, DBKL juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelesen perniagaan di sekitar ibu kota yang menyalahgunakan atau menyewakan lesen kepada warga asing.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan termasuk sita, membatalkan lesen perniagaan dan menamatkan kontrak perjanjian dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh diambil jika didapati menggaji atau membenarkan perniagaan mereka diurus warga asing.
“Pelesen di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Pasar Harian Selayang tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016… Pelesen juga akan disenarai hitam daripada memohon lesen baharu,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Jabatan Integriti DBKL (JIT) sentiasa memantau isu melibatkan penyalahgunaan kuasa ke atas semua pihak yang terlibat. – BERNAMA