Berita

Pencemaran Sungai Kundang: Tiga lelaki direman tujuh hari

- Diterbit 27 Oktober 2020 5:32 AM MYT

TIGA lelaki termasuk seorang pengarah syarikat di sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 2 Nov berhubung pencemaran air di Sungai Kundang, Rawang.

Perintah reman ke atas kesemua suspek berusia antara 36 hingga 67 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka selama tujuh hari.

Mereka yang ditahan ialah pengarah syarikat berusia 67 tahun dan dua pekerja kilang warga tempatan.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman ketiga-tiga suspek bermula pukul 9 pagi itu selesai 9.30 pagi. Kesemua mereka yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.45 pagi selepas ditahan 3 petang semalam di sebuah premis.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas