Berita

Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 bantu rancak ekonomi

INISIATIF Wilayah Cakna 3.0 yang memberikan pengecualian bayaran sewa membolehkan penduduk berbelanja di kedai sekitar PPR.
- Diterbit 27 Oktober 2020 5:11 AM MYT

MESKIPUN berdepan kelembapan ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya dan Kuala Lumpur, pengenalan Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 dilihat mampu mewujudkan rantaian ekonomi yang sihat.

Ini kerana, antara pemberian di bawah inisiatif tersebut adalah pengecualian sewa untuk penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA). Melalui inisiatif itu, penduduk yang tidak boleh keluar dari rumah mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan seterusnya merangsang ekonomi untuk peniaga-peniaga tempatan khususnya peniaga di kawasan PPR dan PA.

Menurut Pemilik Pasar Mini Jamani, PPR Desa Tun Razak, Muhammad Ismail, 75, berkata, penjimatan sewa bulanan di setiap isi rumah dapat memberikan sedikit kelebihan kepadanya apabila mereka berbelanja di pasar mini miliknya.

“Saya telah mula berniaga di kawasan ini sejak dari tahun 1997 dan kebanyakkan penduduk di sini merupakan golongan yang perlu dibantu dan berpendapatan rendah, melalui bantuan kemudahan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban mereka.

“Melalui inisiatif kerajaan kepada mereka, lebihan kewangan tersebut dimanfaatkan dan berbelanja untuk membeli barangan keperluan seperti barangan basah dan runcit di beberapa buah kedai runcit yang ada di kawasan ini,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Kata Muhammad Ismail, walaupun keadaan ekonomi agak terjejas ekoran negara di serang wabak COVID-19, namun orang ramai masih perlu berbelanja namun dalam jumlah yang kecil.

“Jika mahu d ibandingkan dengan keadaan s ebelum ini, memang tidak dinafikan banyak perbezaan kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kebanyakkan mereka masih mempunyai pendapatan, pekerjaan dan mungkin ada sedikit simpanan.

“Namun selepas PKP, keadaan nampak tidak stabil kerana ramai yang terjejas termasuk hilang pekerjaan dan mungkin telah habis wang simpanan. Namun langkah yang diambil oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dapat memberi kelegaan kepada mereka dan kami peniaga kecil seperti di kawasan PPR ini turut menerima tempiasnya,” katanya.

Heng Hua Hooi, 51, berkata, pengumuman inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu perniagaan makanan yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu.

“Kemudahan yang diberikan oleh kerajaan ini dapat membantu peniaga kecil seperti saya kerana mereka boleh berbelanja termasuk di gerai saya.

“Walaupun pendapatan daripada perniagaan tidak memberikan keuntungan yang besar, namun saya masih lagi mampu menjual dan mempunyai pelanggan di sekitar kawasan ini. Tambahnya, inisiatif ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepadanya memandangkan kelembapan ekonomi amat dirasainya ketika ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas