Berita

Pencemaran libatkan empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas

- Diterbit 19 Oktober 2020 2:18 AM MYT

SEJUMLAH 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah.

Pencemaran sumber air mentah itu dikesan pada pukul 2 pagi tadi dan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera telah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

Beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Sehingga pukul 6.30 pagi ini, pencemaran masih dikesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON.

“Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Elina berkata pemulihan insiden henti tugas separa LRA SSP1 berikutan paip air terawat pecah telah mencapai kadar 80 peratus, setakat pukul 2 pagi tadi.

Bagaimanapun, berikutan insiden pencemaran bau itu melibatkan loji yang sama, maka pemulihan kawasan tersebut tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang diumumkan pada 18 Okt.

Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman web rasminya www.airselangor.com – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas