Berita

Bencana tanah runtuh, PM Vietnam gesa usaha mencari dan menyelamat dipergiat

- Diterbit 19 Oktober 2020 2:24 AM MYT

PERDANA Menteri Vietnam pada Ahad menggesa misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang ekoran bencana tanah runtuh yang melanda wilayah Thua Thien, Hue dan Quang Tri terus dipergiat.

Nguyen Xuan Phuc berkata banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat sejak sebulan lalu di kawasan tanah tinggi itu sudah meragut beberapa nyawa dan menyebabkan puluhan yang lain hilang.

Katanya, awal minggu ini sahaja 13 pegawai dan tentera yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat serta dua pekerja pembinaan maut manakala 15 lagi dilaporkan hilang di loji kuasa hidro Rao Trang di wilayah Thua Thien.

Sementara itu katanya seramai 22 pegawai dan anggota tentera dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di daerah Huong Hoa, wilayah Quang Tri yang berlaku pada Ahad pagi.

Beliau yang sedih dengan kejadian itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan masih hilang.

Hujan lebat diramal berterusan dalam masa beberapa hari lagi, mencetuskan risiko tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan tanah tinggi di wilayah tengah Vietnam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas