Berita

Pemilihan PKR demi kuatkan parti menjelang PRU16

- Diterbit 9 November 2024 5:27 PM MYT

PEMILIHAN PKR yang dijangka pada awal tahun hadapan adalah demi menguatkan dan memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Setiausaha Pengelola Pusat PKR, Zahir Hassan berkata pemilihan parti perlu diadakan sebagai satu tanggungjawab dalam perlembagaan.

“Jadi bila adakan pemilihan parti itu dia memenuhi tanggungjawab kita yang asas.

“Kita mengatakan bahawa pemimpin sekarang yang ada cukup baik tetapi apabila pemilihan berlaku anggota-anggota parti itu diberi peluang untuk memilih mereka lebih baik,” katanya.

PKR bakal melangsungkan pemilihan parti tahun depan dengan jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

Sementara itu, Zahir yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju berkata pemilihan parti akan berlaku tiga tahun sekali dan itu mengikut perlembagaan.

Beliau yakin pemilihan parti itu akan melahirkan satu barisan kepimpinan yang akan menguatkan parti.

“Kita adakan beberapa siri program seperti Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16).

“Jadi mesti perlu dilihat secara keseluruhan supaya perkara kita lakukan ini bukan terpisah antara satu sama lain tetapi mengukuh dan menguatkan antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Zahir tidak timbul isu pemilihan parti perlu disegerakan atau tidak.

Beliau berkata baginya pemilihan parti perlu dibuat selepas tiga tahun.

“Jadi cepat atau tidak terpulang kepada kepimpinan parti untuk menentukannya.

“Kita sudah bincang dalam biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk putuskan adakan pemilihan pada awal tahun depan. Kita yakin keputusan dicapai itu satu keputusan terbaik parti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas