Berita

Pemecatan Tan Sri Annuar Musa adalah satu keputusan yang tidak matang

- Diterbit 5 Januari 2021 10:45 AM MYT

SAYA telah lama berkecimpung dalam politik, secara peribadi merasa amat sedih dan kecewa dengan senario politik sekarang ini. Isu yang lama pun tidak selesai, datang lagi isu yang terbaharu atas pemecatan YB Tan Sri Annuar Musa. Sepatutnya kita mencari penyelesaian dan persepakatan sesama kita bagi menyelesaikan kemelut yang melanda bukan menyemarakkan api atau menambah kebencian oleh ahli akar umbi. Apa natijah yang kita dapat dengan memecat YB Tan Sri Annuar Musa hanya berdasarkan kepada kenyataan yang beliau buat dilihat tidak senada dengan pucuk pimpinan parti? Utusan Malaysia melaporkan BN dikatakan memecat Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan tidak sehaluan dengan parti tanpa pengetahuan beliau. Bagi saya, berbeza pandangan atau berselisih pendapat bukan jurang untuk melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan kita orang Melayu terutamanya parti UMNO, sebaliknya wajar dijadikan iktibar dan asbab ke arah memperkasakan umat dan mendaulatkan masa depan negara kita .

Saya juga merasakan, sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada kekalahan yang lepas untuk menguatkan parti, bukannya mencari salah atau menghukum mana-mana pemimpin. Parti UMNO pernah ditolak rakyat pada PRU ke-14, seharusnya belajar daripada pengalaman yang silam. Jangan mengamalkan budaya politik sempit dengan sewenang-wenangnya menghukum mana-mana pemimpin yang dilihat tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan atau yang berani menegur demi kebaikan parti. Secara peribadi, saya melihat Tan Sri Annuar Musa banyak berjasa dan membantu membangunkan parti dan membela rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang.

Dewasa ini, rakyat bukannya melihat kepada perkara yang besar-besar, kita perlu dengar apa yang rakyat kehendaki bukan apa yang kita kehendaki. Caknanya kita kepada mereka yang harus diperkemaskan dan selaraskan dengan UMNO sebagai parti perjuangan. Saya amat yakin UMNO perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan terlebih dahulu agar ia menjadi landasan yang lebih stabil dan mantap dalam perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Sepertimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini berhubung kerjasama politik menjelang PRU ke-15 yang akan datang, iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim! Itulah pendirian konsisten yang perlu dikekalkan. Anwar peribadinya tak elok, berselindung dibalik topeng dan hanya menjadi boneka. DAP bersikap rasis, tidak menghormati malah menghina agama Islam dan ingkar kepada Institusi Raja-Raja Melayu.

Apa yang amat saya kesalkan, jangan dek kerana kuasa, ada yang sanggup menebang pokok yang pernah membantu dan memberikan kita perlindungan ketika dipanah panas terik sinaran mentari. Suatu ketika dulu, pokok itulah tempat kita berteduh dan mendapat manfaatnya. Saya percaya tidak sepatutnya kita hancurkan atau melupakan budi baik dan jasa orang yang banyak membantu dan menabur bakti kepada parti dan negara. Janganlah pulak kita mengeruhkan lagi keadaan ya.

Dato’ Zurainah Musa
Ketua Wanita UMNO Negeri Wilayah Persekutuan
Merangkap
Ketua Wanita UMNO Bahagian Cheras

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas