Berita

Lama tidak jumpa ibu, lelaki 35 tahun nekad bunuh diri

PASUKAN bomba menyelamatkan seorang lelaki yang cuba membunuh diri di hotel awal pagi tadi.
- Diterbit 5 Januari 2021 10:32 AM MYT

BERPUNCA mengalami tekanan akibat lama tidak berjumpa dengan ibu, seorang lelaki berusia 35 tahun nekad membunuh diri dengan mengelar pergelangan di kedua-dua tangannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 6.50 pagi berkaitan cubaan membunuh diri serta melakukan khianat dengan api dalam bilik di aras tiga, sebuah hotel di sini.

“Dia juga didapati mencederakan dirinya sendiri serta membakar beberapa peralatan di bilik hotel tersebut pada pukul 4.30 pagi.

“Tindakan awal menyelamatkannya dilakukan bomba selepas mereka dimaklumkan pihak pengurusan hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki terbabit didapati mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dan kanan dipercayai kesan torehan yang menggunakan serpihan botol kaca.

Menurut Mohd Ibrahim, walaubagaimanapun dia dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Labuan.

“Hasil siasatan, dia dipercayai mengalami depresi kerana telah lama tidak dapat bertemu ibunya yang sedang dipenjarakan di salah sebuah penjara di Semenanjung.

“Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 309 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuba melakukan kesalahan membunuh diri dan khianat dengan api yang dikenakan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas