Berita

Pembiayaan pakej umrah bagi rakan pemandu Grab diperkenal

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 3 April 2024 6:30 PM MYT

MITRA Kembara Sdn Bhd bersama GrabFin Malaysia  memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menawarkan Umrah Financing bagi memudahkan rakan pemandu Grab beragama Islam menunaikan ibadah itu di Tanah Suci.

Pelancaran awal pembiayaan berkenaan bermula hari ini bagi tempoh perjalanan mulai Ogos dan November depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Mitra Kembara Dr Fazil Khan Abdul Kadir dalam kenyataan berkata  perkongsian strategik itu sejajar dengan misi syarikat berkenaan untuk menyediakan pakej mampu milik ke Tanah Suci kepada jemaah umrah.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan ini agar rakan pemandu mereka dapat menunaikan kewajiban agama dengan pakej kos berpatutan,” katanya.

Mitra Kembara menawarkan pakej 12 hari 10 malam kepada rakan pemandu Grab merangkumi penginapan, hidangan lengkap, tiket penerbangan ekonomi dan visa umrah.

Dalam pada itu Ketua GrabFin Malaysia (Pembiayaan) Henry Ho berkata ini merupakan sebahagian daripada usaha membantu rakyat memenuhi keperluan masa kini dan mewujudkan impak berkekalan bagi mereka yang maju dan berkembang bersama Grab.

Sedania Innovator Bhd juga menawarkan elaun RM300 kepada kumpulan pertama rakan pemandu Grab yang memohon Umrah Financing itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas