WILAYAH Persekutuan Labuan berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan disebabkan kedudukan yang unik serta sudah pun mempunyai kemudahan asas yang mencukupi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, dengan potensi tersebut beliau akan memberikan fokus menambah baik kemudahan asas termasuklah bekalan elektrik dan air yang sebelum ini sering menimbulkan rungutan oleh penduduk.
“Ini juga telah disebutkan oleh Perdana Menteri. Jadi saya nampak beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera terutama masalah infra. Bagi saya itu adalah kemudahan asas yang perlu diselesaikan.
“Saya berharap dalam tempoh setahun ini kita boleh selesaikan masalah tersebut berikutan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke Labuan Disember lalu telah mengumumkan RM300 juta bagi memastikan prasarana seperti elektrik dan air ini dapat diselesaikan,” katanya ketika wawancara eksklusif bersama Wilayahku.
Selain itu kata Zaliha, pembangunan Labuan akan terus diberi penekanan dan bakal dimajukan sebagai hab pendidikan.
“Kita telahpun ada beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang beroperasi di Labuan iaitu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Kolej Matrikulasi Labuan dan beberapa pusat latihan yang boleh dibangunkan,” katanya.
Berkenaan jambatan yang menghubungkan antara Labuan dan Menumbok di Sabah, Zaliha berkata projek tersebut dilihat mampu menjadi game changer kerana ia dapat memudahkan banyak perkara termasuk aspek pembangunan di Labuan.
“Saya difahamakan sekiranya kewujudan jambatan itu nanti ia akan memudahkan proses mengangkut air bersih ke Labuan dan saya akan melawat semula projek berkenaan.
“Kita juga akan cuba usahakan termasuklah berbincang semula dengan Kerajaan Persekutuan. Saya lihat ada beberapa perkara yang kita boleh teroka model perniagaan baharu yang membolehkan perkara itu menjadi suatu yang realiti,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mahu masalah infrastrukur dan kemudahan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di berikan perhatian khusus bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan menikmati keselesaan.
Zaliha berkata isu tersebut melibatkan penyelenggaraan berkala dan ia perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.
“Infrastruktur ini lebih kepada penyelenggaraan dan daripada taklimat yang disampaikan, saya dapati kerja-kerja yang dijalankan itu tidak menepati tugas yang sepatutnya dilakukan.
“Sebagai contoh jalan berlubang yang berpotensi mengakibatkan kemalangan, saya dapati kita ada kaedah untuk mempercepatkan dan mempermudahkan proses penyelenggaraan untuk keselesaan orang ramai,” kata beliau.
Selain masalah penyelenggaraan jalan raya yang menjadi isu di ibu kota, penyelenggaraan longkang dan saliran juga turut menjadi punca kritikan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan ia berisiko menjadi banjir kilat ketika tiba musim monsun.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Zaliha berkata pihaknya akan bekerjsama dengan agensi lain bagi meningkatkan mutu infrastruktur di ibu negara.
“Sudah tentu kita perlu bekerjsama dengan agensi lain dan sebagai contoh aduan yang diterima agak banyak namun untuk menyelesaikan itu ada sedikit lambat dan kita kena perbaiki.
“Jika perlu penambahan petugas, itu perlu dijadikan keutamaan. Sekali lagi, ia perlu diselesaikan segera kerana sebagai ibu kota, ia tidak cantik jika perkara yang berkaitan dengan kemudahan asas tidak ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata setiap jabatan dalam agensi perlu memikirkan kaedah untuk mempercepatkan sistem penyampaian termasuklah penggunaan teknologi bagi mengatasi masalah responsif terhadap aduan.
“Saya lihat penggunaan teknologi dapat mengurangkan penggunaan masa dan selain itu, kita perlu melihat dari aspek tata kelola,” katanya.
Mengenai isu kesesakan lalu lintas pula, Zaliha berkata terdapat kaedah yang boleh digunakan yang perlu dilakukan dengan cara yang betul melibatkan kerjasama semua agensi menerusi agenda Bandar Pintar atau Smart City.
“Kita mempunyai agenda Bandar Pintar yang entiti di bawahnya adalah safe City, healthy city, hub and technology yang perlu dijayakan dengan kerjasama semua pihak dan agensi.
“Paling utama ia mestilah friendly to everybody yang sebahagian daripada entiti yang disebutkan itu sudahkan berada dalam fasa pelaksanaan yang perlu diperkukuhkan,” katanya. – WILAYAHKU