Utama

Pembangkang gagal pecahbelahkan PH – Khalid

KHALID (tengah) ketika menjawab pertanyaan media berhubung mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi. - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 22 Februari 2020 2:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad menyifatkan usaha pembangkang untuk memecahbelahkan kerajaan Persekutuan dan menimbulkan perbalahan dalam kalangan pemimpin serta ahli Pakatan Harapan (PH) adalah gagal.

Ini kerana, tegas beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, keputusan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan malam tadi adalah muktamad yang mana semua terlibat sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Keputusan itu dilakukan supaya tidak ada orang lain boleh masuk seperti mana yang kita tahu, ada usaha-usaha untuk merosakkan (kerajaan) dan sebagainya.

“Oleh itu, kita bagi tahu kepada negara dan supaya semuanya jelas bahawa kerajaan PH itu mantap di bawah kepimpinan Tun Mahathir,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas tentang tarikh peralihan pula, jelas Khalid, ia ditentukan oleh Tun Mahathir kerana dalam majlis itu, kesemua pemimpin bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan atau tekanan dan sebagainya.

Ini kerana, kata beliau, apa yang penting kepada kerajaan PH adalah terus memerintah dan mentadbir negara dengan baik serta mendatangkan manfaat kepada rakyat.

“Perjuangan kita bukan untuk mana-mana individu, ia adalah untuk menjadikan sebuah kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab kepada negara.

“Oleh itu, semua isu bergaduh untuk jawatan dan sebagainya adalah rekaan semata-mata daripada pihak pembangkang, untuk beri gambaran bahawa kerajaan ini tidak mantap, tidak stabil, yang mereka boleh masuk bila-bila masa serta ambil alih dan sebagainya.

“Itu semua karut, kami kukuh dan bersama, kami akan mengurus serta mentadbir kerajaan ini sehingga rakyat tentukan nanti. Jadi Pas dan UMNO atau mana-mana pihak jangan cuba timbulkan perbalahan,” tegas Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas