Abdul Hadi dilantik Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

Abdul Hadi dilantik Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri

PUTRAJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Abdul Hadi, 73, berkata, beliau dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan sedikit pengalaman untuk membantu Kerajaan Malaysia memimpin agenda perpaduan ummah dan keamanan sejagat,” katanya dalam laman Facebooknya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen
Marang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 apabila Pas buat pertama kali kembali memerintah negeri Pantai Timur itu.

Beliau merupakan pemegang ljazah Sarjana Muda Syariah Universiti lslam Madinah dan ljazah Sarjana Siasah Syariah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016.

Abdul Hadi yang memimpin Pas sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor terkenal dalam penglibatannya bersama gerakan Islam di peringkat antarabangsa antaranya menyertai usaha pendekatan antara mazhab.

Kuliahnya pada setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang pernah menjadi fenomena pada tahun 80-an apabila dihadiri ribuan pendokong Pas. – WILAYAHKU

CATEGORIES