Fokus

Pemansuhan subjek kenegaraan bukan penyelesaian tuntas kepada kualiti graduan

- Diterbit 14 Oktober 2021 1:17 PM MYT

Subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas), Kewarganeraan dan hubungan etnik telah di perkenalkan di IPT sejak sekian lama.

Subjek ini diwujudkan di universiti bertujuan untuk memupuk persefahaman antara kaum dan agama serta menanam semangat patriotik mahasiswa.

Berbeza di universiti luar negara, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan semangat persefahaman antara kaum merupakan tunjang kepada kestabilan dalam negara.

Merujuk kepada kenyataan Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Induk TITAS Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Madya Dr. Zaid Ahmad pada tahun 2011 berkata subjek TITAS yang diperkenalkan di universiti hendaklah mengambil kira isu ketamadunan bersesuaian dengan keadaan semasa bagi memupuk sikap saling faham-memahami serta hormat-menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, budaya dan agama.

KPT telah memperkenalkan subjek ketamadunan dan kenegaraan Malaysia di universiti dengan matlamat dan objektif yang jelas.

Sekalipun subjek ini berbeza dengan subjek pengkhukhusan di universiti, corak pemikiran dan pemahaman mahasiswa terhadap kepentingan hubungan antara etnik hendaklah dititikberatkan.

Isu pemansuhan subjek TITAS, kewarganegaraan dan hubungan etnik menjadi polemik apabila subjek ini dianggap sebagai tidak releven di IPT dan kewajaran pemansuhan subjek tersebut bagi mengurangkan tempoh pengajian di universiti.

Semakan kepada subjek yang perlu diambil oleh mahasiswa di universiti hendaklah mengambil kira kepentingan dan objektif sesuatu subjek itu diperkenalkan.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengulas isu ini dengan berkata subjek kemanusiaan mampu menyemai nilai hakiki dalam kalangan mahasiswa.

Oleh itu, nilai yang diketengahkan dalam subjek kenegaraan hendaklah diambilkira sebagai kepentingan kepada mahasiswa.

Objektif utama diperkenalkan tiga subjek ketamadunan dan kewarganeraan tersebut adalah untuk memastikan keharmonian antara kaum terjaga.

Mahasiswa di IPT akan membentuk pola pemikiran masyarakat setelah bergraduat. Oleh itu, pembentukan jati diri mahasiswa hendaklah dalam acuan kenegaraan Malaysia selain daripada kecemerlangan akedemik.

Walaupun keharmonian antara kaum masih belum mencapai ke tahap yang memuaskan, pemansuhan subjek kenegaraan Malaysia akan menyebabkan isu antara kaum menjadi lebih parah.

Semakan kepada kandungan dan bagaimana subjek ini disampaikan di bilik kuliah boleh ditambahbaik supaya releven dengan keadaan semasa.

Isu tempoh masa mahasiswa di universiti bukanlah satu isu yang kritikal di Malaysia. Secara purata, mahasiswa akan menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada usia 22 atau 23 tahun.

Usia bergraduat ini menyamai dengan kebanyakan universiti di luar negara. Pengurangan subjek di universiti bukanlah satu penyelesaian yang tuntas kerana susuk tubuh mahasiswa hendaklah terbuka kepada kepelbagaian ilmu yang diperoleh di universiti.

Kualiti pendidikan di Malaysia juga antara yang diiktiraf oleh badan antarabangsa dan ruang penambahbaikan terhadap kualiti pendidikan masih terbuka.

Isu sebenar dalam mahasiswa hari ini adalah isu kemahiran di luar bidang akademik seperti kemahiran memimpin, kemahiran berbahasa kedua, kemahiran pengucapan awam dan sebagainya.

Kekurangan kemahiran yang disebutkan inilah yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

(Penulis: Timbalan Pengarah Bahagian Perancagan Korporat, UPSI, Ts. Dr. Muhammad Noorazlan bin Abd Azis.)

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas